Tuesday, April 12, 2011

Aku & Pokok Epal




Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut.

Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu.

"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."

Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.

Masa berlalu... suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "

Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya," pokok epal itu memberikan cadangan.

Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati... " kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat.

Sandiwara Reostat & Termometer

Semasa duduk menaip post ini, terpandang saya buku fizik yang agak berhabuk. He he. Sudah hampir lima tahun saya tidak membukanya. Saya selak dan belek-belek balik buku ni. Saya ketawa melihat contengan saya di atas buku tersebut. Cikgu duduk ajar kat depan, saya khayal melukis pedang kristal macam dalam komik senjata misteri dan pedang istimewa dari komik "Pedang Setiawan". Apa boleh buat, dah minat saya. Tiba-tiba saya terpandang satu eksperimen dalam buku ni.

Eksperimen saya maksudkan ialah eksperimen dalam tajuk heat; to find heat capacity of object. Eksperimen ini melibatkan banyak radas. Saya terfikir sejenak apabila membaca kesimpulan eksperimen, pemanipulasian reostat itu telah menyebabkan termometer itu berubah bacaaanya. Saya bukan bermaksud nak membuat post tentang fizik, cuma saya teringat ada motivasi disebalik reostat dan termometer itu. Hah, apa bendanya motivasi tu?

Manusia itu kita boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan termometer dan golongan reostat. Golongan itu dibahagikan mengikut sifat dan ciri-ciri yang ada pada radas itu. Satu pemanipulasi dan satu lagi dimanipulasi. Itulah hakikat manusia hari ini. Ada yang menjadi pemanipulasi atau pengubah keadaan seperti reostat, dan ada yang menjadi seperti termometer yang dimanipulasikan dan berubah mengikut keadaan. Jadi apa motivasi dari hakikat ini?

Sudah menjadi fitrah manusia untuk dilahirkan dengan sifat malu, rendah diri. Ada sesetengah daripada mereka, yang sentiasa berasa sangat malu selalu. Alahai hendak mendengar suara dia punyalah susah. Macam ada emas dalam mulut dia. Ada sesetengah pula tidak tahu malu. Cakap tidak berhenti-henti, orang sudah bagi isyarat berdehem dekat 10 kali dah, tak faham-faham. Uish, memang tak faham bahasa dia ni. Tapi hakikatnya sifat malu atau rendah diri yang tidak dikawal supaya jangan terkurang atau terlebih menyebabkan adanya golongan termometer dan reostat.

Kita mulakan dengan termometer dulu, sebab saya yakin, anda semua kenal sangat benda ini. Ala, kalau kita sakit, ibu kita atau doktor suruh nganga, letak dekat mulut untuk mengukur suhu badan kita. Oh, golongan termometer ni golongan selalu sakit ke? Bukan! Termometer dalam makmal fizik ke, yang kuning panjang, yang kita buat main kadang-kadang tu? Bukan jugak! Perkara yang saya nak ketengahkan ialah sifat termometer itu. Berubah ikut keadaan semasa, atau dalam kata lain dimanipulasikan oleh keadaan sekeliling.

Kalau kita perhatikan dunia hari ini, memang terdapat banyak golongan termometer ini. Disebabkan kurang keyakinan dalam diri, atau malu, atau rendah diri, mereka lebih suka ikut sahaja orang di sekeliling mereka. Mereka takut untuk membuat keputusan sendiri, kerana mereka menjangkakan apa-apa yang mereka buat akan dicemuh dan dibangkang orang. Jadi mereka takut untuk mengambil langkah permulaan, sebaliknya lebih suka mengikut apa-apa yang orang dah buat.

Tidak dinafikan, jalan yang telah dilalui oleh orang lain dan terbukti selamat, itulah jalan atau pilihan terbaik. Tapi kejayaan kita akan setakat dibawah naungan orang yang pernah berjaya itu. Tidak ada bezanya dan tidak akan maju. Jikalau misalnya kawan kita itu, memilih hendak mengambil jurusan perakaunan, dan terbukti dia berjaya. Malahan dia mendapat tawaran bekerja di Bank Negara. Wah! Kalau kita ikut apa-apa dia buat mesti kita akan berjaya juga. Kalau anda rasakan ini adalah betul, sebenarnya salah.

Ada pepatah Melayu berbunyi "rambut sama hitam, hati lain-lain" dan pepatah Inggeris yang berbunyi "it's take all sort to make the world". Pepatah ini sengaja dipetik, kerana pepatah ini memberi maksud, setiap orang adalah tidak sama. Walaupun sepasang kembar dilahirkan dengan rupa dan suara yang sama sekalipun, mereka tetap berbeza. Begitu juga, anda dengan kawan anda. Anda dengan dia adalah berbeza. Mengapa harus, anda ikut cara dia. Mungkin dia boleh berjaya dalam bidang perakaunan itu, tapi bolehkah anda? Bukan bermaksud hendak merendahkan diri sesiapa, tetapi berfikirlah sejenak, kekuatan setiap orang tidak sama. Ada orang cenderung ke arah sains, ada yang cenderung ke arah kira-kira dan lain-lain.

Bukan apa, kadang-kadang dalam hidup ni, kita minat pertanian. Bila beritahu ibu bapa kita, ibu bapa kata bidang itu, tidak ada masa depan. Seraya berkata "Pernah ke dalam keluarga ni ada orang berjaya dalam bidang ini?" Justeru menyebabkan kita tidak yakin, malu dengan keputusan kita itu. Maka datanglah penyakit termometer dalam diri kita. Kita berubah ikut keadaan semasa, tanpa kerelaan hati. Kalau masa itu, trend mengambil profesion perguruan yang paling terjamin dan popular, maka kita pun terikut-ikut mengambil profesion itu. Terseksalah kita andai profesion itu tidak kena dan tidak serasi dengan kita. Hal ini berlaku kerana kita menjadi golongan termometer.

Kita mengikut keadaan di sekeliling kita. Kita dimanipulasikan oleh keadaan sekeliling, sehinggalah apabila kita tersedar suatu hari nanti, kita sudah tersesat dari landasan asal. Untuk maju kehadapan dan mencipta kejayaan, seseorang itu hendaklah memacu kejayaan mengikut acuannya sendiri. Setiap orang tidak dilahirkan untuk menjadi pandai. Mungkin kepandaian itu Allah telah pindahkan kepada kemahiran yang lain. Kita lihat contoh Dato' Jimmy Choo. Kalau diteliti latar belakangnya, ternyata pencapaian akademiknya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi beliau tidak menjadi termometer. Beliau cuba menongkah arus semasa, dengan menceburi bidang pembuatan kasut. Sesuatu yang asing pada masa itu, dan lihatlah bagaimana dia berjaya.

Kenali potensi diri. Cuba duduk sejenak, kenal dengan diri anda sendiri. Lihat apa kecenderungan anda? Membuat sesuatu yang anda minati dan mahir adalah lebih baik daripada membuat sesuatu kerja kerana terikut-ikut dengan orang lain. Perubahan paling baik ialah perubahan yang berlaku dari dalam dan dekat dengan diri, minat anda kerana itu kekal, perubahan paling buruk ialah perubahan luaran kerana itu lakonan. Fikirkanlah, kalau anda sekadar menjadi termometer, mengikut keadaan sekeliling sahaja tanpa kerelaan, dan tanpa pengetahuan mendalam tentangnya, sudah tentu anda sedang menganbil jalan yang sukar. Di dalam Al-Quran sendiri ada ditegaskan supaya jangan mengikuti sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang mendalam tentangnya.

Allah pernah berfirman dalam surah Al-Israk ayat 36: Janganlah kamu mengikut apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.

Lihatlah cara Islam itu sendiri disebarkan. Tiada paksaan dikenakan. Misalnya ketika Salahudin Al-Ayubi berjaya menakluki Kota Jerusalem, penduduk Kristian tidak dipaksa memeluk Islam, walaupun majoriti ketika itu beragama Islam. Hal ini demikian kerana Islam tidak mahu penganutnya terdiri daripada golongan termometer iaitu golongan yang memeluk Islam kerana keadaan semasa. Apabila keadaan yang sedia ada berubah, keimanan itu juga turut berubah bersama. Islam amat menekankan kesedaran dan minat yang mendalam di dalam hati, dan sebagai umat Islam kita haruslah membuang sikap atau ciri-ciri termometer itu.

Beranilah untuk membuat keputusan sendiri. Berani mengambil tanggungjawab dan membuat sesuatu perkara sendiri. Janganlah terlalu bergantung kepada sesuatu melainkan Allah. Jikalau selama ini kita selalu bergantung kepada ibu bapa untuk membuat keputusan, ingatlah kematian akan menjemput mereka suatu hari nanti. Begitu juga dengan mengharapkan kawan, isteri atau guru. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Disaat kita hilang pergantungan akan hilang arahlah diri kita. Tidak tentu hala dan tenteram.

Disinilah perlunya menjadi golongan reostat, iaitu golongan yang yang mengubah keadaan dan memanipulasikan keadaan. Kita yang tentukan apa-apa kita hendak kita perlu buat. Keadaan sekeliling diambil kira juga, tapi kita berpijak diatas keputusan sendiri dan memulakan langkah pertama, bukannya mengikut orang lain.

Allah menegaskan perkara ini dalam Al Quran dalam surah Ar-Raad ayat 21 yang bermaksud: Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubahnya sendiri.

Jelasnya dalam firman diatas Allah menyuruh kita berusaha sendiri mengubah nasib kita. Kita harus mengubah keadaan, harus berani menongkah arus. Bukannya mengikut-mengikut keadaan sekeliling dan berharap keapada orang lain. Berpegang kepada ayat inilah, umat Islam mencapai kegemilangannya sekitar abad ke-14. Jikalau umat Islam pada waktu itu, menjadi golongan termometer, golongan yang mengikut keadaan semasa, sudah tentulah dunia akan hancur. Bayangkanlah, bagaimana Eropah dilanda zaman gelap kerana tentera salib membakar buku-buku ilmu, dan perpustakaan di Iskandariah atas nama gereja. Jikalau umat Islam turut mengikut perkara itu, bagaimana agaknya kesudahannya.

Fikirkanlah. Syukur Islam berjaya menjadi reostat. Islam telah mengubah keadaan semasa, malahan telah mencetuskan zaman renaissance yang bermula di Itali. Lihatlah bagaimana berbeza reostat dan termometer itu. Jadilah orang yang mengubah keadaan. Beranilah untuk berimpian dan mempunyai wawasan.

Saya faham, sekiranya kita berasa tidak yakin dengan diri kita. Tidak apa, kerana itu adalah fitrah, tapi terpulang kepada kita untuk berusaha keras. Sudah menjadi fitrah manusia itu dilahirkan bersama-sama dengan kekurangan tetapi kita diberikan kudrat untuk menutup kekurangan itu. Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari, begitu juga kejayaan. Tidak apa jikalau pada permulaannya anda lemah dan selalu kalah, tapi masa yang berlalu akan mematangkan anda. Gagal yang paling berbahaya dalam hidup bukanlah ketika gagal tetapi gagal untuk mencuba lagi setelah gagal.

Mari kita sama-sama berusaha dan melangkah mengorak kejayaan di dunia dan di akhirat. Melangkahlah bagaimana cara dan rupa sekalipun, yang penting melangkah sebab setiap yang melangkah pasti sampai ke matlamat. Setiap kejaan bermula dengan langkah yang pertama. Usahakanlah yang pertama itu sebaik dan secepat mungkin.

Sebelum tu, teringat semasa Tingkatan 3, ada peristiwa berkaitan reostat. Saya ni gatal sangat tangannya, saya bermain-main dengan reostat itu. Selepas itu cikgu marah, disuruh berlari keliling sekolah sambil membawa kerusi. Haha.

Sunday, May 23, 2010

penting utk umat islam...

salam menganggu....penting kpd umat islam!!!!
Esok adalah hari yang sangat mencabar bagi umat Islam di seluruh dunia. . Kerana esok di INTERNET non muslim akan mengatur acara BIADAP UTK KITA SEMUA!!. . .

Hari Melukis MUHAMMAD (S. A. W),... Jadi, sebagai Muslim kita wajib
membycott acara mereka itu. . . Malam ini, sblm JA...M 12:00 mlam,
CEPAT2!! log off pd semua laman sosial seperti berikut: Orkut,
Facebook, Twitter, Hi5, dan banyak lagi. Dengan cara ini, mereka akan
menghadapi kehilangan berat financial Insya-Allah. . . menunjukkan kita
LOVE dan RESPECT untuk nabi kita MUHAMMAD (SA W).

Harap semua dapat
copy paste teks ini pd semua. Harap kita dapat lakukannya
sekurang-kurangnya untuk nabi kita (SAW). Jika anda tidak percaya,
pergi sahaja ke laman web CNNBookmark.

Saturday, April 10, 2010

ALLAH HUAKBAR 3x!!!


(jika kau mahu kan dunia,carilah ilmu,jika kau mahukan akhrat,cari lah ilmu,jika kau mahu kan kedua nya,carilah ilmu..)

Berdasarkan hadisth itu,maka wujud lah mnggu y snggt cbuk dgn report+assngmnt+tst y belambak...n mnggu ni jugak ak tebukak hati utok tau pasal palestin,n td pulak dengar org speach pasal al aqsa..

ALLAH HUAKBAR 3x!!!


tsedar dr nkmt dnia..org tu kate,kite ni asyik pkir psl 2 masjd agung,di mekah dan madinah..tp kite lupe tnggung jawab kite untok msjid ketiga y di agong kn ALLAH iaitu Al Aqsa... (sebagaimana sabda nabi: bertanye seorang sahabat pada nabi,apakah tnggungjawab kami pada al aqsa,lalu baginda menjawab,ziarahi dan solat lah di dalam nye,jika kau tidak mmpu atau ade halangn pada mu,belilah minyak2 untok menyala kan pelita2 di dalam nya..) begitu sekali tnggungjawab y nabi beri kan pada kite umat beliau..

tapi apakah sumbangn kite pada rumah Allah itu yang sekarang ini dikepong..dan mujahid2 kite y mempertahan lan maruah nya dibunuh dgn kejam disana dgn mnguna kan tech2 y paling maju,sedang kan mujahid kite hanye mnggunakan badan mereka sebagai perisai..apakah sumbangn kite…atau, adakah kite pernah mendoakan mereka selepas setiap kali solat? Astaghfirulllah………..


y cube di sampai kan kat cni ialah...ape saje y kite capai pada hari ini dan mase hdpan adalh untok menyebar kan syiah islam (yakni ad din y benar) dalm sume aspek..dan apabila kite telah berjaya jgn lah lpe utok mnyumbang bakti pada jalan NYA, (jika kau mencari dunia,maka dunia akan datang pada mu,tetapi jika kau mencari akhrat,dunia n akhrat akn datang pada mu…) (orang y mengejar kekayaan dan nikmat dunia adalah seperti anjing y berebot kan bangkai….)

ak bkn la baik sngt,tp berpegang pada prinsip ""apabila kamu berdakwah, ia seperti kamu membaling bola kedinding,dan ia akan kembali pada kamu"...
jadi klu kite segan untk b'dkwah sbb kite ni xbaik,kite silap..terus kan dakwah...kerana nabi pernah bersabda..jika kau mengikuti ajaran ku,langkah ku,sunnah ku..maka kau akan menjumpai hlngn y sama dgn ku,dan permulaan dan pergakhiran mu akan juga sama dgn ku…

jika kite berjalan pada tali NYA,jgn lah kite gentar..kerana setiap kegagalan y dtng sudah tercatat di hadapan nya,kejayaan y pasti…

sekadar berkongsi ilmu kerana pesan nabi kita y lebih kurang berbunyi….

“sampai kan lah pesanan ku pada y tidak hadir,moga2 mereka lebih memahami dan mnyampai kan pada y lain”

W’allhualam….

Thursday, August 20, 2009

Mengapa Perlu Berkahwin?


1. Aku tidak mahu berkahwin!, Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!

2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.

3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..

4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..

*****

Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.

Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..


Mengapa Perlu Berkahwin ?

Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :

Nabi melarang daripada hidup membujang. (Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).

Saad bin Abi Waqqas r.a berkata : "RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri. (Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).



Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.

Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.

Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti


Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti : "Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)


Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.

Jiwa tenang dengan jalan pernikahan


Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir". (Ar Rum :21)


Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.

Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.

Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.

Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.

Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.

Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.

Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui". (An Nur : 32)

.....SECAWAN KOPI.....


Seorang pensyarah di Kolej Safir yang bernama Dr. Izwan kelihatan sudah bersedia memulakan ceramah beliau. Suasana di dewan sunyi sepi dan para jemaah nampaknya sudah bersedia mendengar tazkirah daripada Dr. Izwan.(para jemaah terdiri dari pelajar beliau) Kelihatan di atas meja Dr. Izwan terdapat sebuah balang kaca yang besar dan secawan air kopi yang sungguh harum aromanya. Tanpa berkata apa-apa, Dr. Izwan meletakkan beberapa biji bola golf ke dalam balang kaca tersebut sehingga penuh.

Kemudian, Dr. Izwan bertanya, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"
. Para pelajarnya menjawab, "Ya, balang kaca itu sudah penuh". Kemudian, Dr Izwan memasukkan beberapa biji manik ke dalam balang tersebut dan menggoncangkannya. Manik-manik tersebut mengisi ruang-ruang kosong di celah-celah bola golf di dalam balang tersebut. Dr. Izwan bertanya lagi,"Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?". "Ya", jawab para pelajarnya.

Kemudian, Dr. Izwan mengisi pula balang tersebut dengan pasir pula. Dengan mudah pasir-pasir tersebut mengisi ruang-ruang yang masih ada di dalam balang kaca tersebut. Dr. Izwan tanpa segan silu bertanya lagi, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"
. "Ya", jawab para pelajarnya yang nampaknya agak keliru dan terasa seperti diperbodohkan. Kemudian, dengan yakin Dr. Izwan mengisi balang kaca tersebut dengan air kopinya. Kedengaran suara seperti orang ketawa kecil.

Suasana di dalam dewan kuliah mula hingar-bingar seketika. Dr. Izwan sambil tersenyum sinis bertanya,"Adakah balang kaca ini sudah penuh?. Para pelajarnya menjawab, "Ya, sudah penuh". Seorang pelajar Dr. Izwan mengangkat tangan sambil bangun dan bertanya,"Kenapakah Dr. Izwan berbuat demikian?"
.

"Baiklah saya akan terangkan sebabnya. Balang kaca ini melambangkan kehidupan kita semua. Bola golf itu pula melambang perkara-perkara yang paling penting yang perlu diisi ke dalam kehidupan kamu seperti agama kamu, amal ibadah, pelajaran, ibubapa, keluarga dan sekiranya tiada perkara lain pun kehidupan kamu tetap juga penuh. Manik-manik kecil itu pula umpama perkara-perkara keperluan kamu seperti rumah, kereta, pangkat dan sebagainya. Begitu juga pasir tersebut melambangkan perkara-perkara kecil yang lain dalam kehidupan kamu"
, jawab Dr. Izwan dengan yakin dan gayanya yang tersendiri.

"Cuba kamu bayangkan jika balang kaca tersebut diisi bermula dengan pasir, sudah tentu ruang untuk bola golf dan manik amat terbatas. Begitulah juga kehidupan, jika kita hanya menghabiskan tenaga dan masa hanya kepada perkara kecil dan remeh pasti dan pasti kita tiada lagi ruang masa dan tenaga untuk perkara-perkara yang penting dan bermanfaat",
Dr. Izwan menyambung.

Tiba-tiba seorang pelajarnya bertanya, "Habis, air kopi tu melambang apa pula?". Sambil tersenyum Dr. Izwan menjawab, "Walau sesibuk mana pun kamu semua, ketahuilah bahawa kamu masih lagi punya waktu untuk minum secawan kopi bersama ibubapamu.
Jika kamu berasa kehidupan ini terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan sehingga anda merasakan masa selama 24 jam itu tidak cukup sebenarnya anda silap! Berfikirlah dengan akal berpandukan Iman di dalam hati dan tentukan yang mana satukah prioriti.

Kerana CINTA, Aku Tinggalkan Cinta


Sebenarnya sudah lama aku ingin kongsi kisah aku ini dgn sahabat-sahabat sekalian. Tapi , setiap kali laptop aku buka, jari ini jadi kaku untuk menulis. Tapi akhirnya aku nekadkan juga untuk menulis tentang ini. Hati aku bagai ditarik-tarik untuk menulis.Aku sudah tidak berdaya untuk pendam segalanya. Aku bimbang jika makin aku pendam,aku akan makin tersiksa dalam dunia aku sendiri. Doa aku semoga Allah ampuni aku atas segala apa yang aku lakukan ini. Apa yang akan aku coretkan ini adalah sekadar buat tatapan sahabat-sahabat sekalian. Ia adalah pengalaman aku sendiri. Ia hadir dari lubuk hati aku sendiri. Bukan fantasi atau rekaan semata. Aku tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkari apa yang telah Allah tetapkan kepada aku.

Kisah ini aku ceritakan supaya apa yang aku lalui tidak berlalu begitu saja tanpa aku kongsi dan tanpa aku rekodkan sebagai panduan bagi diri aku untuk hari-hari kemudian. Ianya terjadi sewaktu aku berada dalam tahun 2 diploma . Aku juga adalah seperti kalian semua. Manusia biasa yang punya fitrah untuk dicintai dan mencintai. Kamar hati aku ini sepi dan tidak pernah aku isikan dengan cahaya atau cinta dari mana-mana wanita. Ianya suram dan sepi. Hinggalah akhirnya aku bertemu dengan seseorg.

Pertemuan aku dan dia terjadi sewaktu aku mengikuti aktiviti rehlah kelab. Itu pertemuan pertama. Tidak kenal pun, tapi perkenalan kami bermula hanya melalui sms dan demi Allah , aku ikhlas menghulurkan salam persahabatan padanya hanya kerana Allah. Tapi, semua yang terjadi telah ditakdirkan , dan aku tidak menduga akhirnya aku mula jatuh cinta dengan dirinya(perwatakanya). Aku sendiri tidak sedar bila perasaan itu mula bercambah.

Perwatakannya sopan dan dia fasih berkata-kata, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal agama. Walaupun antara aku dan dia , kami tidak pernah bersua secara berhadapan, tapi setiap kali bicaranya melalui sms itu menambat hati aku. Aku senang berbicara soal-soal agama dengannya, Namun, iman aku mula goyah, taqwa mula merapuh, nafsu merasuk nurani suci, lalu hati tunduk pada bisikan syaitan nan keji. Hanya sms. Nampak macam baik kan? Tidak pernah berbicara secara berhadapan tapi hanya sms. Sesetengah orang akan berpendapat bahawa cara aku itu betul , tapi sebenarnya ia silap sama sekali. Dan aku akhirnya menyedari kesilapan itu.

Sms itu sebenarnya hanya 1 alasan bagi aku. Ianya mungkin nampak agak baik,walhal tujuannya tetap sama dan ianya tetap salah. Niat baik itu tidak pernah menghalalkan cara. Yang batil tetap batil. Yang haq tetap haq. Allah pernah berfirman :

“Dan (juga) kaum Ad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari (puing-puing) tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.” (Surah Al-Ankabut,29:38)

Kalau difahami ayat ni, sebenarnya apa yang berlaku pada aku ialah, syaitan telah buat aku pandang baik pada perkara buruk yang aku lakukan. Memang pada mulanya niat aku baik, tapi syaitan itu sangat licik. Dia akan sedaya upaya buat aku terjerumus ke dalam kemaksiatan.

Matlamat baik aku itu tidak pernah menghalalkan cara aku. Selama hampir setahun aku leka dengan perasaan ini sendiri, akhirnya aku menyedari kesilapan yang telah aku lakukan ini. Aku terlalu asyik dengan cinta ini sehingga aku terlupa pada Pemilik Cinta yang sebenar. Sungguh, aku rasa terlampau berdosa dengan diri ini dan dengan dirinya sendiri. Aku telah menjadi fitnah bagi dirinya , kerana sedikit sebanyak aku telah melalaikan hatinya. Walaupun antara kami tidak pernah punya apa-apa yang istimewa , tapi aku tahu yang aku telah banyak menyusahkan dan meresahkan hatinya.


Aku panjatkan kesyukuran kerana Allah swt mengurniakan hidayah-Nya pada aku dan aku kembali menyedari kesilapan yang aku lakukan. Silap aku kerana punya cinta ini dihati. Tidak seharusnya aku begitu mudah melafazkan cinta dan meluahkan rindu. Aku seharusnya sedar pada siapa harus aku lafazkan cinta itu..hanya utk Allah ,Pemilik Cinta Teragung dan rasul-Nya.

Terus-terang aku katakan yang aku jadi malu dengan diri aku sendiri, dengan Allah dan dengan dia sekali. Kini , untuk kembali mencari keredhaan dari-Nya aku tinggalkan cinta di hati aku ini,ia hanya untuk Allah. Itu sebenarnya adalah jalan terbaik bagi aku.

Aku mengaku, aku sering kali terluka dan aku sebenarnya tidak kuat untuk melakukan itu , tapi aku perlu lawan segala hasutan syaitan durjana ini untuk mencapai keredhaan-Nya. Aku terpaksa berperang dengan hati dan perasaan aku sendiri.

Sewaktu aku mentaddabur Al-Quran, ada satu ayat yang membuatkan aku berfikir sejenak bahawa wajib bagi aku berperang dengan perasaan ini. Aku tidak boleh beri kemenangan pada syaitan dalam peperangan ini. Surah Al-Baqarah, ayat 216:

”Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Kini , segala apa yang pernah ada kaitan antara aku dan dia telah aku simpan. Gambarnya yang aku simpan secara curi-curi, dairi aku yang penuh dengan catatan berkenaan dirinya, kopiah pemberiannya dan semua sms nya yang aku simpan dalam buku, aku simpan di dalam kotak. Hanya satu saja pemberiannya yang aku pegang dan bawa kemana-mana saja , aku tidak tegar untuk menyimpan pemberiannya yang itu di dalam kotak. Nak tahu apa?

TAFSIR AL-QURAN pemberian dari dia. Tafsir Al-Quran yg berwarna coklat itulah yang banyak memuhasabah diri aku. Kerana Al-Quran itulah aku akhirnya sedar akan segala kesilapan aku. Jadi, TIDAK MUNGKIN aku simpan dan ‘tutup’ Al-Quran itu untuk selama-lamanya.

Dia kini sudah tamat diplomanya di Bangi dan alhamdulillah aku sudah tidak bertemu lagi dengannya. Dan dia pun sudah melangkah satu lagi fasa dalam proses mencari ilmunya , dimana dia sudah menyambung ke peringkat degree di Shah Alam. . tapi insyaAllah aku yakin dia bahagia sekarang kerana doa aku untuknya sentiasa ada agar dia berada dalam naungan cinta Illahi. Apa yang terjadi antara aku dan dia kini hanya kenangan. Bukanlah bermaksud aku putuskan ikatan persahabatan yg terjalin antara kami ..tidak..!! Haram untukk seorg muslim memutuskan silaturrahim dan menjauhi sahabatnya. Sampai kiamat pun , dia tetap sahabat aku dunia dan akhirat. Tapi dia pernah menyatakan pada aku bahawa ini yang terbaik dan aku terima dengan senang hati keputusannya itu. Cuma saat ini biarlah hanya Allah di hati aku dan biarlah masa yg tentukan siapa dia pada aku di masa hadapan.

"Jika seseorang hamba Allah menahan keinginannya dari sesuatu yang haram (kerana Allah) maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya itu mengikut jalan yang halal"

Aku tahan keinginan di hati ini kerana aku yakin Allah akan kurniakan sesuatu yang halal bagi aku. Semoga satu hari kelak aku akan berjumpa dengan “putera agama” aku yang akan dapat menambahkan lagi cinta aku pada Illahi.